KEGUNAAN SONGKET
Pada zaman dahulu songket merupakan satu pakaian yang istimewa yang melambangkan kebesaran.
Motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh golongan raja-raja dan pembesar-pembesar istana atau golongan bangsawan saja.
Kini, kebanyakan songket ditenun dengan menggunakan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa dan penggunaanya telah berkembang luas serta sesuai dengan pelbagai majlis dan perayaan. Pengeluaran songket kini telah mengorak langkah ke dimensi baru. Hasil tenunan songket dijadikan barang yang boleh dikomersilkan ke peringkat antarabangsa.
Malah, kegunaan songket lebih menyeluruh, tidak terhad kepada kerabat diraja atau golongan tertentu sahaja. Sesiapa sahaja yang berkemampuan boleh memiliki dan memakai songket. Cara pemakaiannya juga lebih meluas, bersesuaian dengan pelbagai majlis. Begitu juga corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa.