PERBEZAAN KAIN TENUN, SONGKET, DAN LIMAR
Tenunan adalah suatu proses penghasilan sulaman benang-benang secara selang-seli antara benang loseng (benang yang menunggu –secara menegak) dengan benang pakan (benang yang mendatang –secara melintang) untuk dijadikan sehelai kain.
Diantara jenis-jenis kain tenun adalah seperti Kain Cindai, Kain Limar, Tenunan Runggus (diusahakan oleh kaum Rungus di daerah Kudat, Sabah), Tenunan Pua (diusahakan oleh kaum Iban di Sarawak), Tenunan Pahang (diusahakan di Pahang), Tenunan Songket (diusahakan di Kelantan dan Terengganu).
-
KAIN TENUN
Kain Tenun dihasilkan dengan menggunakan sejenis alat yang dipanggil Kek Siam. Benang kapas atau sutera yang telah diwarnakan adalah bahan utama dalam pembuatan kain Tenun.
Kain Tenun juga dikenali dengan nama Kain Punca Potong di Kelantan dan Terengganu. Ianya banyak digunakan oleh golongan lelaki sebagai kain samping. Kain Punca Potong mempunyai corak yang sama di kedua-dua bahagian hujungnya dan berlainan dengan corak utama dibahagian tengah kain.
Kain Tenun mempunyai corak jalur, melintang atau petak. Biasanya ia mempunyai pelbagai warna-warna yang terang dan menarik. Lazimnya terdapat dua corak tradisional yang dihasilkan pada kain tenun:-
- Corak Muar –mempunyai corak petak yang besar.
- Corak Bugis –mempunyai corak dan petak yang lebih kecil berbanding dengan corak Muar.
Secara amnya, kain tenun dianggap sebagai kain yang paling sederhana berbanding songket dan limar.
-
KAIN SONGKET
Songket adalah sejenis kain tenunan tradisional orang melayu di Malaysia, Indonesia dan juga Brunei. Biasanya ia ditenun tangan dengan menggunakan bantuan kaki, dan mempunyai corak yang rumit benang emas dan perak.
Benang sutera, kapas atau polyester adalah antara bahan utama dalam pembuatan songket. Jenis benang yang digunakan menentukan kelembutan, seri dan mutu kain tersebut. Songket mempunyai corak dan motif dimana motifnya memaparkan cirri-ciri unik identiti orang melayu.
Secara amnya songket dianggap sebagai kain mewah atau kain ekslusif yang menujukkan kemuliaan derajat dan martabat pemakainya dan dipakai dalam sesuatu majlis atau perayaan.
-
KAIN LIMAR
Sementara Limar lebih mengarah kepada teknik pembuatannya. Ada yang berpendapat songket jenis ini merupakan kain yang memadukan warna merah, kuning dan hijau dengan pola yang terinspirasi dari buah limau.
Di kawasan pantai Timur teknik ikat pakan (benang yang ditenun ke dalam benang loseng) telah menghasilkan kain limar yang berkualiti tinggi, khas ciptaan untuk golongan kerabat diraja dan orang berada. Kebanyakan kain ini terdapat di Kelantan dan Terengganu. Kain limar bermutu tinggi, pengeluarannya sangat terhad dan tidak boleh dinafikan bahwa ia telah dipakai oleh golongan kerabat diraja dan orang yang berada.
Kain limar terbahagi pada dua jenis bentuk iaitu bentuk kain sarung dan kain lepas.
Bentuk kain sarung pula terbahagi kepada motif-motif yang kurang jelas pada badan kain, kepala kain dan kaki kain. Sebaliknya, motif-motif kain lepas biasanya diadakan pada badan kain dan punca kain.
Kain limar ini juga mempunyai empat jenis iaitu kain limar biasa, kain limar bersongket, kain limar Tenggarun, serta kain limar bersurat. Motif-motif yang ada pada kain limar mempunyai persamaan motif pada kain songket.